Warung Aghniya

Arkib Perantau Lawas

Wednesday, August 5, 2009

Luahan Rasa



(Artikel ringkas merupakan sumbangsih sempena pelancaran blog Perantau Lawas baru-baru ini)

Dari BUDI ke Perantau Lawas : Suatu Re-Branding yang diimpikan
Oleh Ustaz Abu Zarkasyi

PROLOG

Ilmuan ulung, Ibn Khaldun dalam karya monumentalnya ‘al-Muqaddimah’ pernah mengungkapkan satu frasa yang tidak asing lagi di kalangan ahli sejarah dan sosiologi iaitu…’al-Insan Madaniyyun Bitt tab’i.(Manusia secara tabiinya memerlukan kepada unsur /orang lain dalam meneruskan proses kehidupan). Demikianlah ungkapan yang sentiasa segar dalam ingatan, membawa maksud yang sungguh mendalam kepada sesiapa yang menghayatinya.

Justeru, hubungan sesama manusia di alam maya ini perlu dan semestinya bergantung kepada insan lain bagi meneruskan kelangsungan hidup ,memperolehi kesejahteraan seterusnya memacu kebahagiaan ke dunia akhirat.

Atas dasar itu, kepentingan berorganisasi dan melibatkan diri (intima’) dalam apa jua pertubuhan, persatuan,badan-badan kebajikan adalah satu tuntutan yang mulia selagi mana ia tidak mendorong kepada kemungkaran dan kemusnahan samada diri, keluarga, masyarakat dan ummah.

Demikianlah di antara matlamat dan target penjenamaan semula sebuah badan komuniti anak-anak rantau di bumi Lawas yang lebih di kenali sebagai Perantau Lawas.

BUDI:SATU SOROTAN SEJARAH, MENEKUNI SEMPADAN DAN IKTIBAR

Badan Usrah Darul Jamaah atau ringkasnya (BUDI) merupakan sebuah kumpulan yang kecil sahaja(firqah) pada permulaan penubuhannya.Ia merupakan gagasan idea beberapa guru-guru yang datang berkhidmat di Lawas ketika itu antaranya Ust Hamid (SK Trusan) dan Ustaz Razali (SKAL).Mereka berdua merupakan individu utama yang cuba menggerakkan guru-guru di Lawas supaya prinsip Wehdatul Fikri (Kesatuan Fikrah) di kalangan guru-guru agama khususnya dapat dijana dengan baik.Hasilnya,BUDI ditubuhkan.Menelusuri secara insaf, modus operandi di peringkat awal penubuhannya, ianya menjalankan aktiviti usrah di kalangan guru-guru agama, membuat dan menyusun strategi dakwah ke kampung-kampung untuk menyebarkan dakwah yang lebih dikenali sebagai Program Surau Angkat.Namun,lama kelamaan, ke semua program yang dirancang menghadapi pelbagai mehnah dan halangan samada semangat futur (pasif) yang ditonjolkan ahli, sekatan pihak pentadbir masjid/surau untuk terus berkecimpung, hilangnya kredibiliti sebagai seorang guru agama di mata masyarakat menyebabkan timbul perasaan infeority complex atau krisis indentiti dalam diri di samping beberapa episod hitam yang melakari hidup guru-guru agama yang bermusuhan dengan komuniti setempat dan lain-lain.Rangkuman sebab musabab ini menyebabkan segala perencanaan aktiviti BUDI semakin malap dan beberapa individu telah mengambil keputusan untuk bergerak secara bebas/ individu bagi memenuhi tuntutan amal fardiyy.

Akhirnya,tinggallah BUDI yang gah pada namanya sahaja hatta trademark BUDI dikenali di kalangan warga setempat kerana iannya digunakan untuk mem”booking” dewan Mega untuk riadhah badminton, menganjur kejohanan tertutup di samping beberapa nama lain seperti Nusantara dan yang terakhir Kembara.

Tidak dinafikan juga, ada beberapa individu yang begitu optimistik untuk menggerakkan kembali, memberi nafas baru dalam merencanakan operasi BUDI secara sedikit demi sedikit di antaranya ketika pimpinan Cikgu Azman Husin, Ust Mohd Asri Mat Junoh. Penulis juga sempat memberi sokongan dan berbakti dengan kudrat yang kerdil semasa era kepemimpinan tokoh-tokoh di atas.

Tetapi beberapa kenangan yang sukar dilupakan penulis ialah adanya pihak dan individu-individu bukan hanya tidak menyokong badan ini malah mencemuh dari jauh pelbagai program yang telah di atur. Bukankan kita semua diberi akal untuk berfikir, ruang untuk berdiskusi jika ada kelemahan.Apakah mereka tidak berfikir(Afala Ta’qilun). Mereka bukan sahaja tidak menyokong dan menjayakan program bahkan mempertaikan perkara-perkara dasar yang sungguh abstrak dan memerlukan masa yang panjang untuk dirungkaikan seumpama apakah tujuan penubuhan BUDI?Matlamat penubuhan tidak jelas dan sebagainya.

Begitulah, sedikit susur galur penubuhan di samping beberapa rakaman kepahitan yang dialami BUDI sepanjang pengamatan penulis bermukim dibumi Lawas suatu ketika.

Darihal itu, marilah kita pada saat ini menekuni semula episod lama yang telah kita kecapi bersama BUDI suatu ketika, utuk kita jadikan sempadan dan iktibar. Seterusnya kita sama-sama memugar kembali semangat kekitaan, kebersamaan di bawah satu payung anak rantau yang datang dari Tanah Malaya (Semenanjung) yang kita naungi sekarang Perantau Lawas.Bukan untuk menonjolkan asabiyyah kenegerian tetapi meneladani rasa ukhuwwah Islamiyah sebagaimana tautan Muhajirin dan Ansar.

Ayuh wahai sahabat, ahli-ahli Perantau kita suburkan kembali semangat ukhuwwah yang pudar, kita semarakkan yang sudah akrab, kita dekatkan yang jauh,yang tua kita hormati dan yang muda kita sayangi.Jauhkanlah sifat ananiyyah (individualistic) yang mengakar dalam diri (jika ada)-nauzubilahi min zalik-.

Akhirul Kalam, salam kemaafan jika terkhilaf dalam fakta dan bicara ringkas ini.Moga bertemu lagi di lain waktu. Pandangan dan respon balas anda dihargai.






No comments:

Post a Comment

Tree By Amir Muhammad

e-mail warga perantaulawas